Besoknya cerita, kawan dari kelas post dalam group whatsApp tentang program universiti iaitu under Perkim UUM, dorang nak buat program kebajikan di perkampungan orang asli dekat area Sungai Belum.
Secara ringkasnya program tersebut diberi nama SG iaitu Sinar Gemilang dan ianya juga merupakan program tahunan Kelab Perkim UUM dan program ini juga merupakan program khidmat masyarakat. Program ini juga dijalankan dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan tidak lupa juga penyertaan dari (YADIM). Program ini dijalankan di Perkampungan Orang Asli, Sungai Tiang, Gerik, Perak.
(Ajk dan peserta SG)
Bermulanya perjalanan dari UUM dengan menaiki bas selama 4 jam dan diteruskan dengan menaiki houseboat di Tasik Banding, Hutan Simpan Royal Belum selama 4 jam. Umi cerita sedikit pengenalan tentang suku kaum yang terdapat di perkampungan orang asli Sungai Tiang. Mereka terdiri daripada suku kaum Jahai dan berketurunan Negrito, rupa paras mereka pula seakan orang Afrika. Penduduk di perkampungan itu juga menganuti agama islam, kristian dan ada juga yang tidak beragama. Tetapi peratus mereka yang beragama islam sangat sedikit. Mereka juga menjalankan aktiviti menangkap ikan, dan mencari madu di hutan sebagai sumber pendapatan. Apabila lihat situasi hidup mereka boleh dikatakan susah. Sungguh, banyak perkara yang dapat kita muhasabah diri apabila berada di sana. Namun, perkampungan tersebut sangat cantik dan tenang.
Apabila kami sampai di sana, kami terus megangkat barang-barang keperluan untuk memasak dan memasang khemah. Aktiviti pertama yang kami lakukan di sana adalah memberi makanan kepada penduduk orang asli. Di samping memberi makanan kami juga turut belajar tentang bahasa mereka iaitu Baerh (jom), gay (makan), m (minum). Pada mulanya penduduk di sana agak malu dengan kedatangan kami. Walau bagaimanapun, kami tetap cuba untuk mendekati diri mereka. Orang cakap "tak kenal maka tak cinta."
Pada hari kedua, umi dan kawan-kawan yang lain berpeluang untuk jalan-jalan melawat kampung, di samping mengajak mereka untuk sarapan. Suasana di sana Subahanallah sangat nyaman dan sejuk. Apa yang menarik di kampung mereka ialah mereka mempunyai sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang. Masa umi jalan-jalan di sana umi ada selisih dengan anak-anak penduduk kampung yang nak ke sekolah. Walaupun mereka duduk di kawasan pendalaman tetapi Alhamdulillah mereka masih berpeluang untuk belajar seperti kita.
Perkara yang umi kagum pada sekolah ini ialah cikgu-cikgu yang mengajar di sekolah tersebut, umi sempat berborak dengan seorang cikgu yang mengajar di situ. Beliau merupakan seorang cikgu wanita, menurut beliau kebanyakkan cikgu yang mengajar di sana terdiri daripada cikgu-cikgu yang bujang kerana cikgu yang sudah berkahwin terutamanya perempuan susah untuk mengajar di sana. Hal ini kerana apabila cikgu perempuan yang sudah berkahwin dan mengandung mereka susah untuk mendapatkan rawatan dan mereka juga berada dalam keadaan beresiko tinggi apabila mereka terpaksa menaiki bot laju untuk keluar dari perkampungan tersebut. Menurut cikgu tersebut itu lagi, beliau sendiri yang minta untuk mengajar di sekolah tersebut. Beliau sangat sukakakan ketenangan yang ada di kampung tersebut dan beliau sendiri ingin jauh daripada kesibukkan dari luar. Hal ini kerana mereka jauh daripada teknologi dan tiada talian telefon.
Aktiviti seterusnya, umi dan ajk yang lain memberi sumbangan dari rumah ke rumah. Sumbangan itu terdiri daripada makanan dan barang keperluan diri. Kehidupan mereka di sana tidak sesenang kita di rumah sendiri. Hidup mereka yang hanya bergantung kepada sumber yang mereka dapat, hidup ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Mereka juga bergantung pada tenaga solar sebagai bekalan eletrik, terdapat juga rumah yang masih berlantaikan tanah. Mereka juga bergantung kepada sumber air tasik sebagai tempat untuk mereka mencuci dan membasuh.
Satu perkara yang sangat menyentuh hati umi sendiri apabila kami mengadakan sumbangan pakaian kepada mereka. Ketika umi menolong seorang mak cik lipat pakain untuk diberikan kepada penduduk orang asli yang tinggal jauh dari kampung mereka. Mak cik tersebut dengan senang hati berkongsi kisah hidupnya. Kisah hidupnya sebagai seorang balu yang terpaksa membesarkan 3 orang anak yang masih bersekolah. Umi tidak berani untuk bertanya banyak kerana umi takut umi akan buat dia rasa sedih. Tidak dapat umi bayangkan situasi hidupnya yang serba kekurangan dan dia terpaksa membesarkan anak-anaknya tanpa suami. Macam mana dengan pembiayaan sekolah anak-anak, makan, minum anak-anak. Mesti mak cik tersebut rasa sangat perik, Tapi umi yakin dia seorang yang sangat kuat sebab dia adalah insan yang terpilih. Allah tahu dia mampu untuk hadapi semua itu, semoga Allah lindunginya dan Allah pemudahkan urusannya.
(maaf gambar video ini tidak jelas)
Pada waktu petang pula kami membuat aktiviti sukan neka bersama-sama anak orang asli. Pada mulanya mereka agak kekok dan malu apabila diajak bermain bersama. Tetapi apabila kemesraan diberi dan kami memberi sedikit hadiah kepada mereka akhirnya mereka dapat bermain bersama. Umi rasa sangat gembira dan seronok dapat bermain bersama-sama mereka. Kanak-kanak di sana sangat lincah dan pandai bersukan. Kanak-kanak perempuan bermain sukan neka bersama ajk perempuan manakala lelaki dewasa bermain bola sepak bersama ajk lelaki. Sungguh, kanak-kanak di sana sangat comel.
Satu perkara lagi yang menarik tentang diri mereka, walaupun mereka tinggal di pendalaman tetapi tasik yang menjadi sumber hidup mereka itu sudah seperti teman bermain. Mereka sangat pandai berenang. Tidak seperti orang yang tinggal di bandar yang perlu ke kelas untuk belajar berenang. Melihat gelagat mereka buat umi terseyum sendiri, walau mereka serba kekurangan tetapi ukhuwah sesama mereka tetap terjaga, walau hidup mereka susah tetapi mereka tetap gembira dengan kehidupan mereka. Seyuman dan gelak tawa mereka sebenarnya mengubat hidup mereka.
Pada esok harinya pula, kami mengadakan aktiviti gotong-royong. Kami membersihkan kawasan kampung. Suasana pada waktu pagi sangat nyaman, selepas gotong-royong umi dan kawan yang lain berpeluang untuk merasai pengalaman menaiki rakit di tasik. Subahanallah best sangat-sangat, walaupun habis baju basah hihi..
Selepas makan tengah hari, kami semua berangkat untuk pulang. Semua barang-barang dikemas dan diangkat masuk houseboat, pada ketika itu umi rasa sanagt berat hati untuk meninggalkan kampung tersebut. Walau kampung itu serba kekurangan, tiada kemudahan tetapi tempatnya sangat indah dan tenang. Pada akhir sekali semua ajk dan peserta memegang tangan masing-masing dan ustaz membacakan doa wahdah dan disahut oleh kami dari belakang. Saat itu umi merasakan bahawa bumi yang umi pijak itu adalah bumi Allah, umi merasakan perjuangan islam itu perlu dibawa bersama dalam hidup.
Allahu, meresap masuk ke hati. Mereka yang tinggal di kampung itu perlukan bimbingan, mereka perlukan bimbingan dari kita semua untuk mengenal islam dengan dekat. Mereka sebenarnya mencari diri mereka, semoga satu hari nanti Allah sampaikan seseorang yang dapat membantu mereka, semoga satu hari nanti Allah beri hidayah kepad mereka. Aminnn!!! Sesungguhnya hidayah Allah itu sangat indah..
-umss-